Wednesday, March 14, 2012

Relakan Dia Demi Cinta


05JULKadangkala aku sendiri kebingungan. Bila ditusuk soalan demi soalan. Bagi yang telah merasa cinta… Bagi yang belum merasanya. Cinta tidak habis-habis diperkatakan, walaupun telah berkali-kali aku pesankan bahawa cinta itu bukan Tuhan!
Kadangkala aku sendiri kebingungan. Bila diajukan pertanyaan demi pertanyaan. Bagi yang telah merasa cinta… Bagi yang belum merasanya. Cinta tidak habis-habis dibicarakan, walaupun telah berkali-kali aku beritahu bahawa cinta itu bukan Tuhan!
Dulu aku pernah mengingatkan diri sendiri, dipercayai lebih utama daripada dicintai. Namun, mengapa hati masih tidak mahu percaya? Kekadang, jalan berapi ditempuh juga. Ah, bujukan nafsu terlalu kuat. Sudah tersndung baru terasa. Sudah berdarah, baru berubah.
Pada remaja yang terus bertanya… Pada manusia yang terus meminta… satu kepastian, satu petunjuk… terus-terang ku katakan aku sendiripun terus bertanya dan terus meminta. Tidak mungkin aku memberikan apa yang aku tidak punya! Tetapi itu bukan alasan untuk menyerah. Mencari dan terus mencari, itulah yang lebih berharga. rasa belum memiliki adalah modal terpenting untuk memiliki cinta… cinta Allah.

Itulah cinta pertama dan cinta utama. Walaupun sudah berkali-kali kalimah itu disebutkan, tetapi yang mendengar cuma telinga dan akal, bukan jiwa dan hati. Hati masih tuli… Jiwa masih alpa… Bila dia berani berkata dan merasa, cinta yang dicari lebih baik daripada cinta yang ditemui!
Relakanlah perpisahan itu demi cinta
 Pernahkah kita terasa tiba-tiba sahaja seolah-olah tidak mengenali pasangan kita? Mengapa dia menjadi “manusia lain”? Seakan-akan kita belum pernah mengenalinya walaupun telah berumahtangga sekian lama. Jika kita pernah mengalami perasaan itu, jangan terkejut. Ia adalah perkara biasa. Bukan sesuatu yang luar biasa.
 Itu semua gara-gara warna sebenarnya (true colours) pasangan kita mula terpancar. Satu demi satu wataknya yang tersirat mula tersurat. Mengikut kajian pakar perkahwinan, hanya setelah usia lima tahun perkahwinan, barulah masing-masing (suami dan isteri) mengeluarkan semua sikap dan perangai mereka yang tersembunyi.
 Pernah kita baca di dada surat kabar bagaimana keluhan seorang isteri yang telah disiram air panas oleh suaminya. Katanya, “setelah tiga bulan berkahwin barulah saya sadar bahawa suami saya sebenarnya seorang yangpemarah.” Ironinya, mungkin pasangan itu telah bercinta (berpacaran) tiga tahun sebelum mereka berkahwin. Bayangkan, tiga tahun bercinta tanpa mengenal diri kekasih yang sebenarnya. Benarlah cinta itu buta.
 Cinta kerana nafsu memang buta. Kita dikelabui oleh daya tarikan fizik sehingga tidak punya mata hati dan akal untuk mengenal siapa yang kita cintai dengan tepat dan betul. Selama tiga tahun bercinta mungkin yang kita ‘gunakan’ cuma nafsu dan emosi bukan fikiran dan hati. Al hasil, setelah tabir perkahwinan mula diangkat, tabir percintaan pun berlabuh. Realitas tidak seindah ilusi. Kenyataan berbeda sungguh dari impian.   
Masa bercinta, warna sebenar – true colours pasangan kita tidak akan ketara. Dia boleh berpura-pura dan rela mengikut selera, minat dan jalan hidup kita. Dan kita juga rela mengikut segala kehendaknya. Kita dan dia mabuk cinta! Namun semakin lama berumah-tangga, maka semakin ketara kelemahan dan kekurangan. Apakah dia umpama bulan yang dipuja dikejauhan oleh Sang sastrawan tetapi botak dan berlopak di mata seorang angkasawan?
 Pada tahap ini, banyak yang mula menyesali diri. Mengapa dia yang ku pilih? Tanpa sadar bahawa pada waktu yang sama, dia juga mungkin berbisik mengapa kita yang dipilihnya? Inilah bibit-bibit yang boleh meruntuhkan sebuah rumahtanga. Yang nekad, rela berputus asa lalu menempuh jalan penceraian. Yang penakut, menunggu dengan resah memendam perasaan… tanpa ada lagi keceriaan.
Manusia adalah makhluk yang senantiasa berubah. Ia punya hati yang sangat konsisten untuk berbolak-balik. Bila hati berubah, fikiran dan tingkah laku juga akan berubah. Untuk kita mengenal manusia (termasuk pasangan kita) kita terpaksa mengenali perubahan itu. Ah, ini suatu yang sangat sukar. Masakan tidak, untuk mengenal hati sendiripun acapkali kita tidak mampu… inikan pula hati orang. Sukar diduga dan ditebak.
 Akibatnya,banyak orang yang berkawin dengan orang yang ‘tidak dikenalinya’. Bukan rupa zahirnya tetapi wajah batinnya. Disangka permata, rupanya kaca. Cuaca rumah tangga mula berubah. Disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di siang hari. Situasi inilah yang banyak terjadi dalam rumahtangga kini hingga menyebabkan (mengikut kajian) setiap lima belas minit terjadi satu penceraian!      

No comments:

Post a Comment